Tuesday 10 May 2011

Saya Nak Hak Saya


Saya nak HAK saya! Itu adalah ungkapan sinonim yang biasa meniti di bibir kita setiap masa. Semua orang mahukan hak masing-masing. Tidak ketinggalan juga saya. Anda bagaimana?
Tahukah anda hak hanya wujud selepas kita melaksanakan tanggungjawab kita? Ini bermaksud hanya jika kita melaksanakan tanggungjawab kita, kemudian barulah kita boleh menuntut hak kita.
Teringat saya pada kenangan tika menyiapkan tugasan Hak Asasi Manusia dan saya serta rakan yang lain memilih untuk 'interview' penghuni Raudatus Sakinah. Terpana seketika apabila ditanya oleh Ummi iaitu Pengurus Raudatus Sakinah, hak apa yang hendak dituntut apabila tanggungjawab tidak dilaksanakan?
Dari situ, saya mula belajar, hak hanya dapat wujud jika tanggungjawab dilaksanakan.
Analoginya cukup mudah, kalau kita menjalankan tanggungjawab mengundi di Pilihan Raya Umum dan kita akan berhak untuk memilih pemimpin yang kita pilih untuk menyuarakan pendapat kita. Andainya kita tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, jangan salahkan pemimpin yang terpilih jika hak dan kepentingan kita tidak disuarakan pada masa akan datang.
Cuba aplikasikan tanggungjawab dan hak ke dalam konsep hidup kita!
Kalau kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dengan sujud pada-Nya, taat pada-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, maka barulah kita berhak mendapat hak kita seperti hak supaya Allah mengabulkan doa kita, mempermurahkan rezeki dan sebagainya. Adalah hak Allah terhadap kita, supaya kita senantisa ingat pada-Nya, bersyukur pada-Nya kerana setiap helaan nafas ini adalah milik-Nya.
Cuba tanya diri, apa milik kita sebenarnya?
Jangan ditanya kenapa Allah tidak mengabulkan doa, kalau hak terhadap Allah tidak kita dilaksanakan.
Jangan ditanya kenapa Allah tidak murahkan rezeki, kalau hak terhadap Allah tidak pernah hadir di ingatan.
Jangan ditanya kenapa dan mengapa selagi hak dan tanggungjawab pada Allah tidak dilaksanakan.
Ingat hanya apabila kita menjaga hak-hak Allah, maka Allah akan menjaga hak-hak kita. Insya-Allah.

Thursday 5 May 2011

ANDA SEMAKIN MATANG BILA...

Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai.
Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa.
Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.
Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka.
Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat.
Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.
Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda.
Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya.
Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.
Anda memberi persetujuan kepada pendapat- pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang.
Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati.
Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.
Anda menghadapi orang-orang tua atau orang- orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif.
Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.
Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.
Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai.
Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.
Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita.
Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

8 ASPEK KEBAHAGIAN HIDUP




Emosi
Selama ini, saya sering meletakkan diri terutama emosi  di tempat kedua. Saya beranggapan adalah selfish jika saya mendahului emosi sendiri berbanding orang lain. Namun, semakin dewasa, saya dapati, emosi diri sama penting untuk dijaga. Ia memberi impak pada penyerapan ilmu, ketahanan fizikal dan elemen-elemen lain dalam hidup. Pada masa yang sama, ilmu yang diserap mampu memantap dan mematangkan emosi semakin usia meningkat.
Fizikal
Ramai yang mengukur kebahagiaan dari simbol-simbol seperti aset yang dimiliki dan pada 'besar gelaknya' seseorang. Namun, betapa malangnya pada mereka yang mempunyai aset yang banyak dan 'gelak yang besar' tetapi kesihatan tidak pernah dijaga. Pemakanan, senaman dan pemantauan kesihatan amat penting untuk menikmati hidup yang cemerlang.
Spiritual
Tiga minggu lepas di satu kursus, kami ditanya perbezaan antara believe dan faith. Saya termanggu seketika untuk mencari perbezaan. Menurut penceramah itu, believe adalah apabila seseorang itu ditunjukkan bukti, barulah dia akan percaya manakala faith adalah tahap kepercayaan walaupun tanpa bukti, mereka percaya ia wujud atau sesuatu itu akan berlaku. Menyerap kata-kata itu, keyakinan kita pada janji Tuhan mengenai orang-orang yang sabar dan orang-orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan adalah kunci untuk ketenangan hidup di dunia dan keabadian hidup di akhirat.
Intelektual
Intelektual bukan bermakna seseorang itu harus mempunyai sijil menggunung atau bercakap menggunakan bahasa tinggi. Meningkatkan kemahiran, membaca buku, berbual bicara dengan individu hebat dan belajar dari pengalaman diri sendiri adalah antara cara untuk meningkatkan intelektual.
Kewangan
Jika ada yang berkata, "aku tidak mahu kaya, aku mahu hidup sederhana", dia hanya membohongi dirinya. Hakikatnya, hidup di dunia memerlukan wang. Malah, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berusaha untuk menjadi kaya untuk membantu lebih ramai rakan muslim di mana jua mereka beada. Justeru, mulalah melabur. Lagi muda lagi bagus.
Keluarga
Keseimbangan hidup juga harus meliputi keluarga. Mereka adalah kelompok terdekat yang perlu disayangi dan menyayangi kita.
Karier
Kita juga harus memberi yang terbaik pada karier. Sebaik-baiknya, tugas yang dilaksanakan itu bukan berpaksi pada imbuhan semata-mata. Memang betul kita bekerja untuk mendapatkan duit, namun jangan jadikan duit sebagai satu-satunya tujuan kita bekerja. Kita mahu lakukan tugas itu dengan amanah dan sehabis baik. Barulah berkat duit yang kita dapat.
Komuniti
Hubungan baik dengan Allah harus seiring dengan hubungan baik sesama manusia. Ramai antara kita yang 'amat sibuk' bekerja sehingga terlupa bahawa kita hidup dalam komuniti masyarakat. Mereka adalah jiran, rakan sekerja, orang yang kita temui semasa menunggu bas, pembekal, rakan-rakan dalam facebook/twitter dan sebagainya.
Sekali pandang seperti "banyaknyaaa..." untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup. Namun, apabila saya temui individu-individu hebat, kebanyakkan mereka memiliki kelapan-lapan aspek ini dalam hidup mereka. Justeru, jika saya ingin mencapai misi becoming the best I can be and live life to the fullest, saya juga perlu seimbang dalam kelapan-lapan aspek ini.
Saya menyeru rakan-rakan sekalian untuk sama-sama be best and live life to the fullest. Berubah menjadi diri kita yang terbaik dan menikmati hidup yang cemerlang, tiada ruginya. Malah, lebih manis dan berkat hidup apabila kita mempunyai kelapan-lapan aspek ini dalam hidup. Yuk! Kita mulakan hari ini :)

Biodata Kolmunis

Mimi Salleh merupakan seorang Pengurus Kanan di syarikat Wira Sdn. Bhd. Selain bekerja sebagai pengurus, graduan Illinois State University, Amerika Syarikat ini juga merupakan seorang penulis buku. Beliau menulis di blog bujangok4u.blogspot.com.

HIDUP....

Seorang lelaki berjumpa dengan seorang Guru. Katanya:"Guru, saya sudah bosan hidup. Benar-benar bosan. Rumah tangga saya porak peranda. Usaha saya kacau. Apapun yang saya lakukan selalu gagal. Saya ingin mati". Sang Guru tersenyum: "Oh, kamu sakit""Tidak Guru, saya tidak sakit. Saya sihat. Hanya bosan dengan kehidupan. Itu sebabnya saya ingin mati". Seolah-olah tidak mendengar kata-kata lelaki tersebut, Sang Guru berkata, "Kamu sakit. Penyakitmu itu bernama 'Alahan Hidup'. Ya, kamu alahan terhadap kehidupan".

Banyak sekali di antara kita yang alah terhadap kehidupan. Kemudian, tanpa disedari kita melakukan hal-hal yang bertentangan dengan norma kehidupan. Hidup ini berjalan terus. Sungai Kehidupan ini mengalir terus tetapi kita menginginkan keadaan status-quo. Kita tidak melakukan apa-apa, kita tidak ikut mengalir. Itu sebabnya kita jatuh sakit. Kita mengundang penyakit.
Penolakan kita untuk ikut mengalir bersama kehidupan membuat kita sakit. Usaha pasti ada pasang-surutnya. Dalam berumah-tangga, pertengkaran kecil itu memang wajar. Persahabatan pun tidak selalu mesra. Apakah yang abadi dalam hidup ini? Kita tidak menyedari sifat kehidupan. Kita ingin mempertahankan suatu keadaan. Kemudian kita gagal, kecewa dan menderita.
"Penyakitmu itu boleh disembuhkan, asal kamu benar-benar bertekad ingin sembuh dan bersedia mengikuti petunjukku", kata Sang Guru. "Tidak Guru, tidak. Saya sudah betul-betul bosan. Tidak, saya tidak ingin hidup lebih lama lagi", lelaki itu menolak tawaran sang Guru. "Jadi kamu tidak ingin sembuh. Kamu betul-betul ingin mati ?", tanya Sang Guru. "Ya, memang saya sudah bosan hidup", jawab lelaki itu lagi. "Baiklah. Kalau begitu besok petang kamu akan mati. Ambillah botol ubat ini. Malam nanti, minumlah separuh isi botol ini. Sedangkan separuh sisanya kau minum besok petang jam enam. Maka esok jam lapan malam kau akan mati dengan tenang".
Kini, giliran lelaki itu menjadi bingung. Sebelumnya, semua Guru yang dia temui selalu berupaya untuk memberikan semangat hidup. Namun, Guru yang satu ini aneh. Bukan memberi semangat hidup, malah menawarkan racun. Tetapi, kerana dia memang sudah betul-betul bosan, dia menerimanya dengan senang hati. Setibanya di rumah, dia terus meminum setengah botol racun yang disebut 'ubat'oleh Sang Guru itu tadi.
Lalu, dia merasakan ketenangan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Begitu rileks, begitu santai! Tinggal satu malam dan satu hari dia akan mati. Dia akan terbebas dari segala macam masalah. Malam itu, dia memutuskan untuk makan malam bersama keluarga di restoran Jepun. Sesuatu yang tidak pernah dia lakukan selama beberapa tahun terakhir. Ini adalah malam terakhirnya. Dia ingin meninggalkan kenangan manis. Sambil makan, dia bersenda gurau. Suasananya amat harmonis. Sebelum tidur, dia mencium isterinya dan berbisik, "Sayang, aku mencintaimu". Sekali lagi, kerana malam itu adalah malam terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis.
Esoknya, bangun dari tidur, dia membuka tingkap bilik dan melihat ke luar. Tiupan angin pagi menyegarkan tubuhnya. Dan dia tergoda untuk melakukan jalan pagi. Setengah jam kemudian dia kembali ke rumah, dilihat isterinya masih tertidur. Tanpa membangunkannya, dia masuk dapur dan membuat dua cawan kopi. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk isterinya. Kerana pagi itu adalah pagi terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis! Sang isteri merasa aneh sekali dan berkata : "Sayang, apa yang terjadi hari ini? Selama ini, mungkin aku salah. Maafkan aku sayang".
Di pejabat, dia menyapa setiap orang, bersalaman dengan setiap orang. Pekerjanya pun bingung, "Hari ini, Boss kita nampak aneh ya?" Dan sikap mereka terhadap dia pun turut berubah. Mereka pun menjadi lembut. Kerana siang itu adalah siang terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis! Tiba-tiba, segala sesuatu di sekelilingnya berubah. Dia menjadi ramah dan lebih toleran, bahkan menghargai terhadap pendapat-pendapat yang berbeza. Tiba-tiba hidup menjadi indah. Dia mulai menikmatinya.
Pulang ke rumah jam 5 petang, dia melihat isteri tercinta menunggunya di depan rumah. Kali ini isterinya memberikan ciuman kepadanya sambil berkata, "Sayang, sekali lagi aku minta maaf, kalau selama ini aku selalu menyusahkan kamu". Anak-anak pun tidak ingin ketinggalan, "Ayah, maafkan kami semua. Selama ini, ayah selalu tertekan kerana tingkah laku kami". Tiba-tiba, sungai kehidupannya mengalir kembali.Tiba-tiba, hidup menjadi sangat indah. Dia melupakan niatnya untuk membunuh diri. Tetapi bagaimana dengan setengah botol 'ubat' yang sudah diminumnya petang semalam? Dia terus pergi menemui Sang Guru. Melihat wajah lelaki itu, Sang Guru terus mengetahui apa yang telah terjadi dan berkata,
"Buang saja botol itu. Isinya air biasa. Kamu sudah sembuh! Apabila kamu hidup pada ketika ini (live the moment), apabila kamu hidup dengan kesedaran bahawa maut dapat menjemput kamu pada bila-bila masa saja, maka kamu akan menikmati setiap detik kehidupan. Leburkan egomu, keangkuhanmu, kesombonganmu. Berlembutkan dengan hidupmu, selembut air. Dan mengalirlah bersama sungai kehidupan. Kamu tidak akan bosan. Kamu akan mula merasai hidup. Itulah rahsia kehidupan. Itulah kunci kebahagiaan. Itulah jalan menuju ketenangan. Lelaki itu mengucapkan terima kasih kepada Sang Guru, lalu terus pulang ke rumah untuk mengulangi pengalaman malam sebelumnya. Semenjak hari itu, dia tidak pernah lupa untukhidup pada ketika ini (live the moment). Itulah sebabnya, dia selalu bahagia, selalu tenang, selalu HIDUP.

Siapa Meninggal Dulu?

Sedikit perkongsian untuk rakan-rakan....kalau kita ada pasangan siapa yang anda mahu meninggal terlebih dahulu, anda atau pasangan anda?.kenapa? mengapa?...mesti ada jawapan masing-masing kan....
sebagai seorang wanita biarlah pasangan kita yang meninggalkan kita dahulu..kenapa??...seorang lelaki sukar menguruskan hidup mereka sekiranya mereka kehilangan isteri atau teman hidup mereka. Bayangkan selama hidup berumahtangga berpuluh-puluh tahun bersama pasangan, pasangan ( isteri ) merekalah yang menyiapkan segala keperluan harian seperti makan, pakaian, pendek kata setiap hari si isteri akan menyiapkan sarapan untuk suami, makan tengah hari, makan malam, pakaian kerja, pakain anak-anak dan lain-lain lagi. Segala urusan isi rumah diuruskan oleh isteri...Cuba anda bayangkan sekiranya isteri meninggal dunia....Bagaimanakah kehidupan suami dan anak-anak? Teruruskah kehidupan mereka? Sanggupkah kita tengok suami tidak terurus kehidupannya? Walaubagaimanapun jodoh pertemuan ajal maut ditangan TUHAN....siapkanlah dirimu dengan ilmu yang berguna agar hidup,u tidak sia-sia. 

NILAI ITU BUKAN PADA BARANG-BARANG BERNILAI

UNTUK SIMPANAN.....
Manusia bertindak melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan emosi bukan logik. Begitulah mengikut hasil kajian pakar-pakar psikologi. Maknanya, apa yang kita rasa itulah yang mendorong kita membuat keputusan dan bertindak, bukan apa yang kita fikirkan. Ini menjelaskan mengapa sesuatu perkara yang telah kita ketahui kebaikannya, tetapi kita gagal melakukannya.
Dan melakukan sesuatu perbuatan walaupun telah kita akui keburukannya. Solat Subuh misalnya, memang telah sedia kita ketahui adalah lebih baik daripada tidur. Muazzin telah menyeru, "sembahyang itu lebih baik daripada tidur."
Namun mengapa begitu sukar untuk kita bangun melaksanakannya? Mengapa tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita telah ketahui dan fikirkan? Menghisap rokok pula walaupun memang diakui memudaratkan kesihatan tetapi masih ramai yang terus menghisap rokok termasuk sesetengah doktor.
Semua itu menunjukkan dominasi emosi mengatasi logik. Sering kali apa yang kita fikir dan rasa bertentangan. Dan dalam pertentangan ini emosi akan mengatasi logik.  Apakah yang mempengaruhi emosi kita?
Jawabnya, nilai!
Oleh itu nilai adalah unsur yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika nilai yang kita pegang itu betul, benar dan baik, maka tindakan kita pun akan betul, benar dan baik. Dan sekiranya, tersasar hidup kita seluruhnya akan tersasar jua.
Apa Itu Nilai?
Apa itu nilai? Secara ringkas nilai adalah satu keyakinan yang kukuh dan mampu bertahan lama dalam diri seseorang. Ia menentukan apa yang kita rasa dan yakini benar, baik dan betul dalam kehidupan ini. Nilai menimbulkan rasa dalaman yang menyebabkan kita sanggup berkorban dan mempertahankan yang kita yakini berharga dalam hidup.
Justeru, nilai adalah pemandu, pendorong dan sumber kekuatan untuk kita membuat keputusan dan bertindak dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu untung atau celakanya kehidupan kita di dunia dan di akhirat dipengaruhi oleh nilai yang menjadi pegangan kita. Sangat penting berpegang kepada nilai yang baik, betul dan benar. Jika tidak hidup kita akan digerakkan ke arah kemusnahan.
Seseorang individu boleh melaksanakan solat Subuh hanya apabila dia meyakini dan merasai bahawa solat Subuh itu sesuatu yang bernilai dalam hidupnya berbanding tidur. Manakala perokok tegar akan terus merokok kerana merasakan perbuatannya itu akan memberi ketenangan dan keseronokan. Keputusan yang dibuat untuk bangun solat Subuh atau terus merokok adalah ditentukan oleh nilai mereka masing-masing.
Nilai pegangan seseorang menentukan apa yang dirasakannya penting dan sangat berharga dalam hidup. Setiap orang mesti jelas tentang apakah nilai yang dipegangnya. Ia menjawab persoalan, apa yang kita mahu dalam hidup ini dengan sejelas-jelasnya. Malangnya, ramai orang yang tidak tahu secara spesifik apa yang mereka mahu dalam hidup. Sekali gus mereka akan kabur tentang erti kejayaan dan kebahagiaan.
Bolehkah kita mencapai sesuatu yang tidak kita ketahui? Tidak hairan kalau dikatakan, masalah manusia bukan tidak boleh berjaya tetapi masalah sebenar ialah manusia tidak tahu apa itu kejayaan yang sebenarnya.
Dan ramai juga orang yang telah tahu tentang apa yang mereka inginkan dalam hidup tetapi tidak mempunyai semangat untuk mencapainya. Ingatlah, sekiranya kita tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup, hanya ada dua puncanya. Pertama, kita tidak benar-benar inginkan (keinginan kita tidak menyala-menyala). Kedua, kerana kita tidak membayar 'harga'  (usaha, kesusahan dan kesabaran) untuk mencapai keinginan itu.
Konflik Nilai
Jika kedua-dua faktor di atas wujud dalam diri seseorang, itu menunjukkan dia menghadapi masalah nilai – sama ada dia tidak mempunyai nilai langsung atau nilainya dalam keadaan bercelaru dan bertentangan antara satu sama lain. Misalnya, dia ingin kejayaan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus seronok di zon selesanya. Mana mungkin kejayaan dicapai selagi kita berada di zon selesa? Kejayaan hanya berada di zon mencabar. Inginkan kejayaan tetapi ingin terus berseronok samalah seperti  mengharapkan terang dan gelap pada masa yang sama.
Kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya? Inilah konflik nilai yang sering berlaku dalam diri orang yang gagal. Ironinya, ada orang inginkan kasih sayang, persahabatan dan ketenangan dalam perkahwinan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus menikmati kebebasan tanpa perlu dibebankan oleh tanggung jawab dan amanah bagi melindungi isteri dan anak-anaknya. Oleh sebab itu dia akan jadi serba salah, antara keinginan untuk berkahwin atau terus membujang.
Orang yang mengalami konflik nilai tidak akan bahagia. Dia akan selalu berada dalam situasi dan kondisi yang serba salah dan serba tidak kena. Satu-satunya cara untuk merasai kebahagiaan dan kepuasan dalam kehidupan ialah kita mesti hidup dengan nilai-nilai yang benar. Jika tidak, kita akan terus dihantui oleh rasa marah, kecewa, kekosongan, kesunyian dan kebosanan.
Bila itu berlaku, ada manusia beralih kepada arak, dadah, zina dan lain-lain bentuk kemungkaran. Dan ramai pula yang menghabiskan banyak masa dengan menonton televisyen secara maraton, membuang masa dengan permainan video, mendengar lagu demi lagu dan lain-lain unsur budaya hedonisme. Semua ini adalah hasil kekosongan dan kesunyian jiwa.
Arak, dadah, seks bebas dan juga budaya hedonisme adalah umpama 'pain killer' untuk mengubati masalah jiwa manusia yang gersang dengan nilai-nilai murni. Ia hanya memberi kelegaan sementara. Ia tidak akan memberi penyelesaian tuntas. Pada hakikatnya kita sedang berdepan dengan masalah nilai, bukan masalah dadah, seks bebas atau lain-lain.
Orang yang solat Subuh, merasakan keredaan Allah itu lebih berharga daripada keenakan tidur seperti mana perokok yang merasakan keseronokan itu lebih penting daripada kesihatan. Oleh sebab itu, amat penting kita berpegang dengan nilai yang tepat dalam hidup ini. Ia adalah faktor yang menentukan sama ada kita hidup dalam kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan atau sebaliknya. Malah nilai juga umpama kompas moral yang menentukan tindakan kita dalam situasi yang mencabar dan kritikal. Semakin jelas nilai yang kita pegang, maka semakin mudah dan tidak teragak-agak kita menghadapi kehidupan.
Justeru, setiap kali kita mengalami kesukaran dalam membuat keputusan ini adalah disebabkan diri kita tidak jelas tentang nilai pegangan kita. Contohnya, kita sedang menghadapi masalah kewangan, tiba-tiba ada orang cuba memberi rasuah. Maka ketika itu, terjadilah konflik dalam diri kita, apakah kita ingin memilih kesenangan atau kejujuran? Sekiranya kita berasa sangat sukar untuk membuat pilihan, itu menunjukkan bahawa kita masih tidak jelas tentang apa yang paling berharga dalam hidup ini – kejujuran atau kesenangan.
Sebaliknya, bagi orang yang jelas pegangan nilainya seperti Sayidina Abu Bakar r.a. konflik yang sedemikian tidak wujud sama sekali. Sebaik dia mengetahui bahawa susu yang diminumnya adalah dari sumber yang haram, maka dia segera memuntahkan kembali susu itu tanpa berfikir panjang lagi. Begitu juga apabila Sayidina Khalid Al-Walid apabila dilucutkan jawatannya, dia berkata, "aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar."
Nilai Menentukan Cara Hidup
Dua orang yang mempunyai nilai yang berbeza akan hidup dengan cara yang berbeza. Mereka akan memilih kerjaya, membeli rumah, memandu kereta dan memilih jodoh yang saling berbeza. Si A yang berpegang kepada nilai agama, akan memilih seorang gadis yang menutup aurat, bekerja di firma yang halal perkhidmatan, produk dan operasinya, membeli rumah dengan pinjaman di bank yang berlandaskan syariat.
Manakala si B yang berpegang kepada nilai keselesaan dan kemewahan akan memilih gadis yang mendedahkan aurat (asalkan cantik), bekerja dengan gaji yang besar (walaupun dalam  firma yang haram) dan membuat urusan kewangannya di bank-bank yang mengamalkan riba. Si A merasakan dirinya beruntung, begitu juga si B. Apakah ini benar? Jawabnya, tidak. Dalam Islam, keuntungan dan kerugian ditimbang atas neraca halal dan haram, pahala dan dosa, keredaan Allah atau kemurkaan-Nya.
Untuk bahagia, berjaya dan tenang dalam hidup ini kita mesti jelas tentang apa yang paling penting dalam hidup ini dan membuat keputusan untuk hidup dengannya tidak kira apa pun yang terjadi. Lihatlah impaknya apabila Sayidina Bilal bin Rabah membuat keputusan untuk memeluk Islam. Pada waktu itu ia berpegang dengan nilai iman yang dirasakannya lebih berharga daripada nyawanya. Walaupun diseksa setengah mati, dia tetap berpegang dengannilai iman.
Begitulah yang terjadi kepada Yasir dan Sumayyah yang sanggup mati di hujung tombak kerana memilih iman berbanding kenikmatan dunia dan segala isinya. Kecintaan Khubaib terhadap Rasulullah saw yang mengatasi kesenangan dirinya bersama keluarga sehingga dia berkata, "aku lebih rela mati daripada melihat Rasulullah tercucuk duri." Dari kaca mata dunia, Bilal, Yasir, Sumyyah dan Khabbab adalah manusia yang bodoh dan rugi... tetapi dari kaca mata Islam merekalah yang paling beruntung dan berjaya!

Biodata Penulis

Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.
Sumber gambar: Flickr